Tuesday, August 14, 2007

Fitnah Terhadap Ketua Pemuda UMNO Permatang Pauh

Apa yang dipaparkan oleh laman berita web alternatif, Malaysia-Today baru-baru ini berhubung dakwaan yang mengatakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Said terbabit dalam satu kes jenayah dan telah ditahan polis adalah contoh mengerikan bagi tokoh-tokoh UMNO menjelang pilihan raya parti dan juga Pilihanraya Umum ke 12. (Baca laporan tersebut di sini.)

Memperincikan insiden itu, saya kira kita tidak patut sebulat hati terus mempercayai tuduhan berkenaan tanpa menyelidik kesahihannya. Sekiranya benar perkara itu berlaku di manakah buktinya dan apakah laporan polis telah dibuat?

Mempercayai dakwaan sebegini meletakkan kita dalam senario kepincangan yang berleluasa dalam blog-blog aktivis dan anarkis politik di internet masakini. Dalam senario tersebut modus operandi sipetualang yang cuba mengemudikan halatuju fitnahnya lebih kurang serupa. Ia dimulakan dengan tuduhan melulu yang dicetuskan daripada satu insiden ataupun pengeksploitasian seseorang individu menerusi sogokkan wang atau ugutan supaya 'mengakui' yang dia telah dimangsakan oleh pihak yang menjadi subjek fitnah itu.

Dalam suasana masakini yang begitu mencabar bagi politik Malaysia, tuduhan seperti yang diajukan kepada Mohd Zaidi begitu mudah diperbesar dan dipanjangkan oleh musuhnya. 'Pendedahan' pincang seperti ini juga memberikan satu lagi peluang keemasan bagi pihak pembangkang menangguk di air keruh. Walaupun secara kasar penulis yang melaporkan berita tersebut di Malaysia-Today pada dasarnya terkecuali daripada sebarang tanggung-jawab kerana apa yang ditulis hanyalah berupa luahan Mohd Zaidi, namun apa yang tersirat dan tersorok di sini sukar disedari kebanyakan orang ramai.

Di sinilah terdedahnya kelemahan sipenulis berita yang menelan segala yang ditulis dan menyiarkannya di laman berita web alternatif Malaysia-Today. Sebagai seorang 'wartawan', sipenulis sepatutnya membuat penyelidikan berikutan wawancaranya dengan Mohd Zaidi. Di manakah jawapan kepada segala elemen asas kewartawanan, iaitu Siapa, Apa, Kenapa, Bila dan Bagaimana dalam laporanya itu? Elemen 'Siapa' jelas tetapi 'Apa', 'Kenapa', 'Bila' dan 'Bagaimana' di selubungi ketidakpastian. Dengan kekurangan elemen-elemen asanya ini tidak dapat dinafikan bahawa laporan yang tersiar di Malaysia-Today berbaur niat jahat walaupun berselindung di sebalik 'kemuliaan dan sikap tidak berat sebelah' yang dilaung-laungkan pemilik laman tersebut, iaitu Raja Petra Kamaruddin.

Kepincangan laporan seperti ini juga dengan mudah dan jelas mencalitkan pangkah terhadap pendirian Raja Petra yang kononnya memperjuangkan kebenaran 'without fear or favour' (tanpa rasa takut atau partisan). Sebagai 'gate-keeper' atau mungkin juga Ketua Pengarang Malaysia-Today, beliau tidak seharusnya menyiarkan berita yang begitu cetek ini kerana jika diperhatikan daripada satu sudut, ia tidak ubah seperti berniat untuk mengaibkan seseorang – dalam konteks ini bersekongkol dengan pihak yang dikatakan memulakan fitnah tersebut bagi tujuan tertentu.

Dalam pada itu, jika benar seperti yang didakwa Mohd Zaidi bahawa tuduhan didalangi oleh musuhnya di dalam UMNO sendiri, ia membuktikan penyakit berbahaya yang menular dalam UMNO.

Dengan perlakuan ini kita tidak boleh menyalahkan UMNO kerana yang mampu berfikir berlandaskan nilai-nilai murni perlembagaan serta misi parti ialah para ahli sendiri. Dengan ketegaran sikap yang begitu mudah dipengaruhi nafsu syaitan demi mendapatkan jawatan dan imbuhan di atas nama perjuangan UMNO, mereka telah melacurkan diri. Perlakuan mereka begitu hina – hina kerana sanggup membakar rumah bersama seluruh anggota keluarga di dalamnya demi pangkat, nama dan harta.

Oleh itu, berdasarkan huraian di atas kita perlu lebih berhati-hati mempercayai segala tuduhan dan tohmahan sama ada dari dalam atau luar.