Tuesday, September 18, 2007

Tiba masanya untuk me-Malaysiakan sistem common law


Terjemahan artikel Dr Wan Azhar Wan Ahmad oleh Publius Melayu

Ia sepatutnya berdasarkan nilai-nilai perundangan, moral dan etika yang dikongsi oleh pengikut agama-agama terkemuka dunia

Hakim Besar Malaysia Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, dalam ucaptamanya pada seminar anjuran IKIM bertajuk Ahmad Ibrahim: His Intellectual Thought and Contributions (Ahmad Ibrahim: Pemikiran Intelektual dan Sumbangannya), telah melahirkan kekecewaan berhubung mentaliti tawanan (captive mentality) di kalangan pakar perundangan, hakim dan kalangan peguam kita kerana sikap terlalu menyanjung Undang-Undang Inggeris, atau lebih tepat lagi, English Common Law (ECL).

Beliau melahirkan rasa kesal kerana walaupun negara telah 50 tahun merdeka, kita masih mengikut s.3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil (Civil Law Act, 1956), CLA. Peruntukan yang terkandung dalam kedua-dua seksyen tersebut mempreskripsikan penggunaan ECL sepenuhnya bagi seluruh negara.

Hakikatnya, ramai yang mentafsirkan kedua-dua seksyen ini seolah-olah kita berkewajipan untuk merujuk kepada Undang-Undang Inggeris apabila berlaku sebarang lacuna (kekosongan) dalam undang-undang kita sendiri. Berhubung ini, Ahmad Fairuz telah mengajukan empat soalan penting untuk direnungi oleh kita dan juga ukhwah perundangan (legal fraternity). Soalan-soalan tersebut ialah:

  • APAKAH keadaan itu mencerminkan bahawa negara ini ketandusan kepakaran perundangan?
  • APAKAH ia bermakna Undang-Undang Inggeris (ECL) ialah pilihan terbaik?
  • APAKAH pakar undang-undang kita masih dibelenggu oleh penjajah (di bawah tempurung penjajah)?
  • APAKAH benar cendekiawan perundangan kita lemah dan tidak bermaya, atau dalam erti kata lain, tidak mampu memformulasi dan membangunkan satu sistem perundangan yang lebih baik berbanding ECL?

Beliau telah menggesa supaya ECL digantikan dengan undang-undang 'common' kita sendiri.

Teguran Hakim Besar itu dilaporkan dengan meluas dalam akhbar-akhbar harian seluruh negara. Bagaimanapun, yang anehnya ramai yang memberikan komen positif, termasuk beberapa pemimpin politik. Dalam pada itu ada juga ketidakpuashatian dari bebarapa pihak yang menyifatkan gesaan untuk penggantian itu sebagai 'tidak berasas.'

Apakah itu English Common Law (ECL)? Secara ringkas, ia merujuk kepada amalan adat yang tidak bertulis berdasarkan keputusan hakim-hakim sepanjang beberapa abad di England, iaitu undang-undang yang diperolehi daripada adat dan kes contoh (preseden). Ini termasuk peraturan ekuiti, dan kemudiannya, pelbagai undang-undang am yang di maju dan ditadbirkan di negara tersebut.

Penjajah British telah memperkenalkan rang undang-undang ini di Malaysia menerusi beberapa perjanjian dengan pemerintah tempatan dan kemudiannya disusuli dengan pembentukkan undang-undang serta keputusan oleh hakim-hakim Inggeris atau hakim-hakim yang terlatih dalam selok-belok sistem perundangan Inggeris.

Gesaan Ahmad Fairuz itu mengulangi satu lagi gesaan yang dibuat oleh bekas Hakim Besar, Tun Abdul Hamid Omar (pada 1990), di mana beliau melahirkan pendapat yang agak sama. Tun Abdul Hamid berkata memandangkan Malaysia sebuah negara merdeka, amalan merujuk kepada ECL dan peraturan-peraturan ekuiti dengan alasan ia selari dengan kehendak s.3, CLA tidak dapat dipertahankan di segi politik. Beliau selanjutnya berkata s.3 perlu dimansuh atau dibetulkan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan kesemua cadangan tersebut mempunyai kaitan dengan pendirian pakar perundangan terbilang allahyarham Professor Ahmad Ibrahim. Ramai akan mengakui bahawa allahyarham bukan saja pengasas tetapi juga penggerak utama idea berkenaan. Allahyarham juga telah memberikan inspirasi kepada ramai tokoh-tokoh lain.

Allahyarham Professor Ahmad pernah menulis bahawa s.3 dan 5 CLA perlu dibetulkan dengan cara memansuhkan rujukan kepada ECL dan peraturan-peraturan ekuiti yang ditadbirkan di England.

Allahyarham dengan tegas mencadangkan supaya kita sebaliknya merujuk kepada keputusan-keputusan mahkamah di Malaysia dengan cara menggunakan undang-undang sendiri dan dengan memberi keutamaan kepada suasana dan penduduk tempatan. Tambah allhayarham, dengan cara ini kita akan mampu mewujud dan membangunkan apa yang dinamakan sebagai Malaysian Common Law (MCL).

Allahyarham Profesor Ahmad juga mempersoalkan s.3 CLA itu sendiri. Menurutnya s.3 CLA seharusnya membenarkan pembentukan dan pembangunan MCL. Seksyen tersebut memperuntukkan bahawa "undang-undang 'common' yang dimaksudan, termasuk segala peraturan ekuiti dan statut-statut aplikasi am akan hanya boleh diguna-pakai sekiranya keadaan di negeri-negeri Malaysia dan penduduk membenarkannya, tertakluk kepada kelayakan dan keperluan setempat ."

Dengan ini maka jelaslah peruntukan dalam CLA tidak semestinya diikuti secara literal atau membabi-buta. Dalam pada itu peruntukan yang sedia ada jelas menunjukkan bahawa pihak penggubal sememangnya mahukan supaya kita membangunkan undang-undang 'common' sendiri. Oleh yang demikian, memang ada asas bagi kita mewujudkan MCL.

Tetapi malangnya, Allahyarham Profesor Ahmad menyesali bahawa walaupun kesemua hakim mahkamah sivil kita, dari paling bawah hingga ke paling atas di lantik daripada kalangan rakyat Malaysia, namun mereka tidak menunjukkan minat atau menggunakan kebolehan masing-masing untuk membetulkan ECL bagi menyesuaikannya dengan keadaan tempatan.

Sekiranya ada apa-apa pengubahsuaian, yang sememangnya jarang sekali berlaku, ia dilaksanakan dengan cara menolak undang-undang Inggeris berkenaan dan menggantikannya dengan undang-undang Inggeris yang lain. Jadi, walaupun kita telah merdeka, hakim-hakim tempatan, para peguam dan penggubal undang-undang masih belum merdeka. Kita masih terikat dengan undang-undang Inggeris dan keputusan-keputusan mahkamah di negara tersebut.

Ahmad Fairuz memberi sokongan penuh kepada usaha untuk memansuh atau membetulkan CLA. Beliau berkata ia perlu dilaksana menggunakan apa jua kaedah pengubahsuaian yang perlu dan boleh digunakan selaras dengan semangat dan perspektif yang diperjuangkan oleh Allahyarham Profesor Ahmad.

Agak sukar untuk kita memahami mengapa ada di kalangan kumpulan-kumpulan orang 'terpelajar' – sama ada dalam ukhwah perundangan atau di luar, yang masih enggan melepaskan ECL. Allahyarham Profesor Ahmad dengan berani dan tegasnya menyatakan bahawa pengwujudan MCL semestinya berdasarkan undang-undang asas negara, iaitu Islam dan adat Melayu.

Beliau mendapatkan sokongan daripada keputusan mahkamah dalam kes Ramah lwn Laton (1927), yang didengar oleh seorang hakim Inggeris. Apakah ini bentuk raison d'etre (sebab kewujudan) bagi penolakkan dalam kes tersebut?

Untuk mempertahankan kesahihan tanggapan ini adalah tidak berasas dan akan menggalakkan rasa takut akan perkara-perkara yang tidak diketahui selain menyebabkan sentimen anti-Islam semakin terserlah. Daripada segi sejarah, adalah logik, dan tidak ada sesiapa pun boleh membantah bahawa undang-undang asas mana-mana negara perlu dikaitkan dengan kebenaran daan keadilan.

Semua harus memahami bahawa Islam daripada sudut teologi berbeza daripada agama-agama lain. Bagaimanapun, pandangan dunia (worldview) Islam lengkap dan daripada aspek etika, moral, sistem nilai dan prinsip perundangan, ia mempunyai banyak persamaan dengan lain-lain agama. Terdapat banyak faham keselarian (parallelism) di antara Islam dan lain-lain agama terkemuka dunia dalam konteks ini.

Jadi, apabila kita bercakap tentang Undang-Undang ' Common' Malaysia, apa yang dimaksudkan ialah pengwujudan dan pembangunan satu sistem undang-undang berdasarkan nilai-nilai etika, moral dan perundangan yang dikongsi oleh pengikut agama-agama lain.

Mungkin ada beberapa nilai dalam tradisi perundangan Inggeris yang tidak sesuai dengan pegangan moral kita di Malaysia. Sememangnya berbandingkan elemen-elemen inilah maka kita perlu bersatu.

Inilah semangat yang harus dipegang dan disemat di dalam hati apabila kita mendebatkan pemansuhan rujukan kepada undang-undang luar. Dalam konteks ini, apa jua cadangan untuk menggunakan mana-mana ajaran teologikal ke atas pengikut agama lain tidak boleh dijadikan sebagai sebahagian daripada asas pertimbangan.

Bagi mewujudkan satu sistem undang-undang 'common' dalam masyarakat majmuk, asas yang seharusnya digunakan ialah Islam, dan sedikit sebanyak, adat-adat Melayu.Ini tidak seharusnya diertikan sebagai penafian peranan serta sumbangan agama dan kaum lain. Sumbangan atau input daripada budaya dan adat-adat lain juga akan dapat memberikan sumbangan ke arah mewujudkan cara hidup yang lebih harmoni dan aman di negara yang tercinta ini.

Mungkin lebih tepat ialah bagi kita menggunakan istilah 'Malaysianisasi' bagi usaha pengwujudan dan pembangunan Undang-Undang 'common' Malaysia.

Penulis adalah Fellow kanan/Pengarah di Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)