Tuesday, July 15, 2008

Impian Anwar menurunkan harga minyak membelakangi realiti...


Anwar Ibrahim malam tadi gagal mempertahankan skima khusus secara logik berhubung bagaimana dia dapat menurunkan harga runcit petrol sekiranya mengambilalih tampuk pemerintahan negara.

Ketua de facto PKR itu setakat mengulangi janji manis kosong dan  rhetorik dalam bentuk kenyataan 'populist' (orang yang mencari perhatian dengan popularisme) semata-mata dengan menjanjikan RM5 bilion subsidi boleh diberi daripada pelaksanaan semula perjanjian pembelian tenaga dengan pembekal tenaga bebas (IPP). Dengan RM 5 bilion ini dia menjanjikan pengurangan serta merta RM 0.50 seliter harga runcit petrol daripada RM 2.70 sekarang ini.

Setakat disedari ramai, Kerajaan membelanjakan subsidi hampir RM50 bilion untuk mengekalkan subisidi pada RM 1.20 seliter untuk harga runcit petrol. RM5 bilion sepatutnya memberi kesan sebanyak 12 sen seliter harga runcit pasaran dan bukan 50 sen sebagaimana dijanjikan secara bersahaja oleh Anwar.

Anwar mendakwa berlaku ketirisan dan kebocoran ketara dalam perjanjian pembelian tenaga. Ia kononnya memihak kepada pembekal tenaga bebas (IPP) yang mengaut keuntungan berbilion.

Anwar sengaja memanipulasikan fakta berhubung statusnya sebagai Menteri Kewangan ketika kebanyakan perjanjian itu ditandatangani. Dan dengan status itu juga dia mempunyai kuasa veto untuk menentukan supaya perjanjian yang membebankan TNB tidak terlaksana.

Mungkin Anwar juga mempercayai rakyat Malaysia akan melupakan keududukan syarikat-syarikat pembekal tenaga bebas seperti Kumpulan MRCB (Malakoff dan Segari) yang dimiliki 'kroninya' semasa memegang jawatan Menteri Kewangan. Selain itu dia mempunyai hubungan baik dengan syarikat Genting dan Arab-Malaysian, yang masing-masing juga pembekal tenaga bebas yang aktif.

Menteri Penerangan Dato' Ahmad Shabery Cheek berjaya memberi gambaran baik mengenai kemampuan Anwar membuat keputusan strategik dalam soal ekonomi dengan memberikan contoh preskripsi IMF semasa krisis ekonomi dan kewangan 1997-8, yang sememangnya memberi kesan buruk kepada banyak syarikat dan industri, samada IKS maupun gergasi.

Memperjudikan ekonomi negara dengan menjanjikan subsidi yang tidak mungkin dapat ditampung dalam jangkamasa panjang tidak boleh diterima. Ini kerana sistem penentuan harga pasaran minyak mentah bukan boleh dikawal oleh Kerajaan Malaysia. Barangkali Anwar sebenarnya mempunyai kefahaman amat lemah mengenai sistem harga runcit petrol dan kos sebenar saringan dan penyediaan petrol, termasuk kos penghantaran dan pemasaran yang tinggi. Anwar juga gagal menjelaskan perjanjian pengeluaran minyak mentah yang rata-rata dikuasai kontraktor asal industri minyak Malaysia. Petronas, yang ditubuhkan 1974, hanya mula bergiat mencarigali minyak dengan usaha sendiri 10 tahun kemudian. Ini lebih kurang 80 tahun terlewat berbanding Shell, di Sarawak.

Melemparkan sesuatu yang didambakan rakyat dengan harapan mengunung adalah cara biasa Anwar meraih sokongan. Subsidi yang Anwar janjikan lambat laun akan membebankan Kerajaan dan sebagaimana Shabery mempersoalkan, apakah wajar Malaysia berhutang untuk mengekalkan subsidi yang Anwar janjikan tatkala harga pasaran minyak mentah semakin naik, terutama akibat angkara para penyangak pasaran hadapan?

Anwar, dengan kemahiran berpidato hebat mudah mengaburi pemikiran pendengar. Strategi ini mungkin berjaya memberikan rakyat Malaysia gambaran bahawa Malaysia pengeluar minyak yang penting di dunia. Malangnya, dengan kemampuan pengeluaran minyak 700 ribu tong sehari, kedudukan Malaysia sebagai pengeluar bersih (net producer) hanyalah 1.2% daripada keperluan dunia. Memang ada betul bekalan minyak sekitar perairan negara semakin pupus. Ini kerana Malaysia telahpun menjalankan kerja-kerja cari gali sejak hampir lebih seabad (jauh lebih awal daripada negara seperti Arab Saudi dan Kuwait, pengeluar paling utama dunia) lalu. Anwar juga gagal menjelaskan bahawa Malaysia lebih bergantung kepada  pendapatan daripada hasil pengeluaran gas asli dan subsidi yang diberikan untuk bahan bakar ini sebenarnya hampir RM 2.00 seliter.

Dakwaan dia akan berjaya menurunkan harga runcit petrol sebagai strategi ekonomi sebenarnya modal dicanangnya sejak sebelum Pilihanraya Umum ke 12, ketika harga pasaran minyak mentah tidak setinggi hari ini.

Dipadankan daripada blog Big Dog