Walaupun hampir semua orang akan menduga pencapaian BN merosot dan pembangkang meningkat, namun mungkin tidak ramai akan percaya dengan kadar yang berlaku sekarang ini jika diunjurkan sebelum PRU2008.
Lebih-lebih lagi ialah tidak mungkin ada yang akan menjangkakan kebuntuan yang berlaku di Perak sekarang.
Dengan kedudukan BN 28 (UMNO 27 MCA 1), DAP 18, PKR 7 dan PAS 6 untuk mengisi 57 kerusi DUN Perak, maka tidak ada satu parti dapat menubuhkan kerajaan tanpa bantuan lain yang boleh disepakati.
Walaupun nampak pakatan pembangkang mampu menubuh kerajaan tetapi pakatan mereka adalah suatu pakatan selepas keputusan PRU dan bukannya suatu yang disepakati sebelumnya. Malah sebelum PRU, DAP tidak ingin bersama PAS langsung untuk kali ini. Untuk menghadapi PRU2008, DAP hanya sepakat dengan PKR dan PAS sepakati pula PKR sahaja.
Dengan kombinasi yang runcing ini maka amat sukar untuk mendapat kesepakatan yang jernih. Namun begitu setakat ini ianya dapat juga disepakati dengan pelbagai kerisauan.
Walhasil, dengan pakatan yang terbentuk itu, maka terdapatlah pecahan kaum Melayu 9 berbanding dengan 22 bukan Melayu untuk mentadbir sebuah negeri yang majoritinya Melayu dan bersultan Melayu. Nampak pelik, namun itulah hakikatnya.
Bukan niat penulisan ini untuk menonjolkan pemikiran perkauman tetapi sekadar menghadapi realiti masyarakat majmuknya.
Suasana ini boleh diubah dan mungkin terlaksana jika di antara para pemimpin yang boleh berbincang secara jujur dan berpakat secara hemah.
Kemungkinan pelawaan UMNO kepada PAS untuk bantu membentuk kerajaan campuran (bukan PAS menyertai BN!) mampu memecah kebuntuan perlantikan MB serta kombinasi exco yang wajar untuk memelihara kepentingan umat dan bangsa.
Pakatan PAS-UMNO ini boleh dilaksanakan secara terpencil dan istimewa hanya untuk Perak. Para pemimpin bangsa dan agama dari pelbagai parti dan perwakilan serta pertubuhan wajar menyambut baik kemungkinan untuk ini berlaku dan terlaksana. Dan yang paling penting ialah mereka semua berusaha agar penyatuan serta perpaduan ini terhasil demi untuk memelihara kesucian agama dan bangsa.