Wednesday, March 12, 2008

Penyokong DAP bantah pendirian Kit Siang


 

Tokoh utama DAP Lim Kit Siang meluahkan bantahannya, dan jawatankuasa eksekutif pusat, terhadap pelantikan wakil rakyat PAS sebagai menteri besar Perak yang baru.

Adun PAS (Pasir Panjang) Mohamad Nizar Jamaludin dilantik sebagai menteri besar Perak selepas wakil tiga parti pembangkang - DAP, PKR dan PAS - menghadap Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah petang tadi.

Dalam kenyataannya yang diedarkan kepada media, Lim berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP tidak akan menghadiri majlis mengangkat sumpah menteri besar Perak esok sebagai bantahan.

Sebaliknya, tambah Lim, DAP bersedia menerima pelantikan pengerusi DAP Perak Ngeh Koo Ham (Adun Setiawan) atau Jamaluddin Mohd Radzi (Adun PKR Behrang) sebagai menteri besar Perak.

Pendirian Lim ini turut dimuatkan di blognya http://blog.limkitsiang.com
dan sekali gus menimbulkan gelombang penolakan para penyokong terhadap sikapnya itu.

Purata 1.2 ulasan pembaca dilontarkan di kaki kenyataannya itu dalam tempoh seminit.

Majoriti pembaca blog Lim meluahkan rasa kecewa, marah atau tidak selesa dengan pendiriannya itu.

Sejak kenyataan itu dimuatkan pada 7:20 malam ini, ia menerima 271 ulasan pada 10:46 malam.

Pada waktu tersebut, ulasan terakhir daripada seseorang dengan nama samaran 'Devilonpois' berbunyi:
 
Dear bloggers…, we have been throwing all our words from deep heart... Have all the messages being conveyed? Is there any of those who today becoming MP/ADUN/etc... getting our message? Have they forgotten what they are fighting for before 8 March?

(Rakan penulis blog semua, kita telah melontar coretan kita semua dari dasar hati kita ... Apakah mesej ini telah disampaikan? Apakah ada orang-orang yang menjadi ahli parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan lain-lain ... menerima mesej kita ini? Apakah mereka sudah melupakan apa yang mereka perjuangkan selama ini sebelum 8 Mac?)

'Smeagroo' meninggalkan catatan ke-344 pada 11:59 malam ini dengan berkata, antaranya:

You guys are walking on a thin line and nothing is certain for now. All it takes is a spark to start a fire and BN will again come back into full power and if that is the case, all I can say is Let's pack our bags and leave for greener pastures!

(Anda semua berjalan di lorong berisiko dan tiada apa yang pasti kini. Hanya satu percikan boleh memulakan api besar dan BN akan kembali berkuasa sepenuhnya dan jika itulah yang bakal terjadi, apa yang saya boleh katakan 'marilah kita bungkus semua barang dan mencari peluang di tempat lain')

Menurut perangkaan, seperti tercatat di bawah foto Lim, pembaca yang sedang melayari blog Lim berjumlah lebih 1,000 orang dan kini semakin sukar untuk diakses, dipercayai akibat kesesakan trafik.