Wednesday, March 12, 2008

PM kpd Ketua Menteri Pulau Pinang: jangan marakkan ketegangan kaum


Semalam selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri pimpinan DAP tidak akan mengamalkan Dasar Ekonomi Baru.

Ekoran kenyataan tersebut hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran kepada Lim Guan Eng supaya tidak membuat kenyataan yang boleh memarakkan ketegangan kaum.

Lim juga berkata DEB, yang diperkenalkan pada 1971 selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969 untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat, merupakan punca kepada "kronisme, rasuah dan ketidakcekapan."

Perdana Menteri berkata DEB yang diperkenalkan perdana menteri kedua allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, sebenarnya telah berjaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan ini telah memberi faedah kepada semua kaum.

"Saya ingin bertanya kepada DAP kaum manakah yang telah menjadi lebih miskin kerana DEB.

"Saya ingin juga memberi peringatan kepada kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya jangan menimbulkan keadaan di mana ketegangan antara kaum boleh berlaku," tegas Abdullah yang juga Ketua Perhubungan Umno Pulau Pinang.

Beliau berkata kerajaan baru negeri Pulau Pinang tidak harus meminggirkan orang Melayu, yang merupakan kaum minoriti di Pulau Pinang dan kumpulan minoriti yang lain seperti kaum India.

"Jangan pinggirkan orang Melayu dan kumpulan minoriti seperti orang India. Saya ingin bertanya kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng apakah rancangan DAP untuk membantu orang Melayu," katanya.