Sunday, May 25, 2008

Tahan Tun bawah ISA: Param mendendam


PAS Kawasan Batu mengecam cadangan Param Cumaraswamy bekas rapporteur Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mendesak kerajaan menahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketua Penerangannya, Tarmizi Mohd Jam, berkata cadangan itu bukan sahaja bertentangan dengan hak asasi manusia malah ia amat bercanggah dengan ajaran Islam yang suci.

Katanya, sekalipun Tun Dr. Mahathir boleh didakwa atas apa jua isu yang boleh dibuktikan melalui undang-undang, ISA tidak boleh digunakan kerana akta tersebut ditentang PAS dan rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat atas nama prinsip keadilan.

Param mencadang digunakan ISA ke atas Tun Mahathir berdasarkan ucapan beliau di Johor pada 17 Mei lalu yang disifatkan membawa sentimen 'perkauman.'

Tarmizi juga meminta Gerakan Mansuh ISA (GMI) mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini.

"Kita kesal. Cadangan itu semacam dendam. Selama ini Param antara yang menentang ISA. Kini dia juga yang mahu ISA digunakan untuk Tun (Mahathir)," tegasnya dalam satu kenyataannya kepada media.

Tarmizi bimbang, ISA hanya ditentang ketika pemimpin tertentu ditahan tetapi dalam masa yang sama, ISA juga boleh digunakan ke atas mereka yang tidak sependapat dan menjadi musuh pihak tententu yang lain.