Monday, May 26, 2008

Tengku Razaleigh & Anwar...sehaluan?


Tengku Razaleigh nampaknya bergerak secara senyap sambil membawa mesejnya mengenai pembaharuan dan Malaysia baru ke seluruh pelusuk negara – dari dewan-dewan sekolah usang hinggalah ke lokasi mewah seperti Sutera Harbour Resort di Kota Kinabalu.

Kadangkala, yang hadir hanya beberapa ratus, jarang sekali mencecah paras melebihi 2,000 orang. Beliau jarang sekali dilaporkan dalam akhbar dan masih dianggap pencabar yang tidak serius bagi merampas hadiah utama politik Malaysia, iaitu jawatanPresiden UMNO.

Bagaimanapun, Tengku Razaleigh kini mendapat perhatian ketua de facto Pembangkang Anwar Ibrahim. Mantan Timbalan Perdana Menteri itu jelas menyukai kualiti keseluruhan penampilan mesej Ku Li kepada ahli-ahli UMNO.

Dalam satu wawancara dengan Asia Inc. Anwar berkata: "Ramai yang menganggap Tengku Razaleigh sebagai secebis sejarah silam. Tetapi jangan lupa beliau pernah berada dalam Pembangkang selama 10 tahun. Ini menjadikannya seorang yang berpengalaman luas berjuang dari dalam dan dari luar parti. Pengalamannya memegang portfolio Menteri Kewangan yang begitu lama memberikannya kefahamaan mendalam mengenai selok-belok ekonomi. Saya berpendapat daripada kesemua pemimpin UMNO, kredibilitinya lebih menyerlah kerana beliau bercakap mengenai perubahan yang sebenar. Beliau berasa dirinya mudah diterima kesemua rakyat Malaysia dan bukan hanya masyarakat Melayu. Beliau boleh menjadi penentang yang kuat."

Mereka yang berada dalam kem Anwar berkata mereka tidak melihat Tengku Razaleigh sebagai penentang, tetapi seorang rakan seperjuangan yang boleh menguntungkan Pakatan Rakyat. Dengan pertalian raja beliau lebih mudah diterima Raja-Raja Melayu yang dianggap sebagai nadi kuasa penting dalam Malaysia baru. Mereka juga menganggap beliau layak memujuk pemimpin-pemimpin UMNO melompat menyertai Pembangkang, lantaran memberikan satu macam kesahihan kepada kerajaan pimpinan PKR-PAS-DAP di mata pengundi Melayu. Tengku Rzaleigh dianggap seseorang yang amat diperlukan Pembangkang.

Setakat ini masih belum pasti samada kem Anwar atau mana-mana pihak dari pembangkang telah membuat pelawaan kepada Ku Li, tetapi beberapa orang pembantu veteran UMNO berkata beliau masih orang UMNO dan tidak begitu gemar menedapatkan kuasa di luar pilihan raya atau menerusi cara di luar perlembagaan.

Tengku Razaleigh percaya kempennya untuk mempengaruhi akar-umbi parti semakin berjaya. Dan dengan penarikan diri Tun Mahathir berserta kempennya untuk memaksa Pak Lah berhenti yang dijangka menjadi lebih pesat sedikit masa lagi, Ku Li dianggap mempunyai peluang cerah memperoleh 58 pencalonan daripada bahagian-bahagian UMNO untuk bertanding jawatan presiden parti.

Apa yang menarik perhatian dan sokongan mereka yang berkecuali ialah faktor keseluruhan agenda dan pemikirannya yang tajam. Beliau bercakap mengenai keperluan memelihara bahasa Melayu dan memastikan hak-hak bangsa Melayu dilindungi perlembagaan. Beliau juga bersedia berpindah ke zon yang lebih selamat untuk menghentam ahli-ahli UMNO yang dianggap bongkak, sombong dan ketagihan kuasa selain suka membodek.

Setakat ini, Ku Li belum lagi menggunakan isu bangsa sebagai modal. Sehubungan ini beliau dikatakan tidak begitu selesa dengan cara Tun Mahathir di Johor seminggu lalu apabila Tun dikatakan memberi amaran kepada orang Melayu berhubung beberapa desakan yang dibuat kumpulan-kumpulan bukan Melayu seperti HINDRAF.

Malam Sabtu lepas di Sabah, Ku Li bercakap mengenai perubahan, Beliau menyeru penduduk Sabah dan Sarawak menunjukkan kualiti bebas dalam keperibadian mereka dan berusaha menukar keadaan diri. Beliau akur bahawa perlu dikaji semula pembayaran royalti minyak kepada Sabah. Beliau berkata Sabah perlu memiliki pusat pengeluaran gas sendiri selain meminta supaya lebih ramai rakyat Sabah dilantik ke jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam di seluruh negara.

Ku Li juga berkata sudah tiba masanya dikaji semula perjanjian cukai 1948 yang meletakkan kesemua kuasa percukaian di tangan kerajaan persekutuan sementara negeri-negeri hanya diberi pembiayaan modal, pembangunan dan lain-lain. Dan buat kali pertamanya sejak memulakan kempen selepas pilihan raya pada 8 Mac, Ku Li memberitahu ketua-ketua bahagian jika mereka mempunyai keyakinan terhadapnya, ,mereka perlu menterjemahkan keyakinan itu kepada pencalonan semasa mesyuarat bahagian.

Ku Li juga menguatkan pendirian dalam usaha menjadikan UMNO lebih demokratik. Padanya UMNO perlu di-demokratikkan dengan pucuk pimpinan dan perwakilan parti ditentu berdasarkan sokogan akar-umbi dan bukan daripada atas. Ketua-ketua perhubungan negeri pula perlu dilantik oleh bahagian dan bukan oleh presiden. Perwakilan ke Mesyuarat Agong dipilih oleh ahli dan bukan ketua bahagian.

Menurutnya, "Parti kita tidak lagi demokratik. Kita sudah hilang deria misi dan perjuangan. Budaya UMNO telah menjadi perjuangan untuk kepentingan diri menerusi pembodekan dan ketakutan. Nilai tertinggi kita sekarang ialah wang." Berdasarkan pandangan inilah Ku Li menggesa diadakan mesyuarat agong luar biasa bagi mempertimbangkan cadangan dikembalikan kuasa memilih pemimpin kepada akar-umbi.

Walaupun ucapan Ku Li begitu bertenaga dan berapi, beliau masih belum pasti akan mampu mendaki gunung setinggi Everest itu. Idealisme para pengasas UMNO yang pernah dijaja dan dilaungkannya sebelum ini tidak lagi mengalir dalam tubuhnya. Ia sebaliknya telah digantikan dengan pragmatisme dan kepentingan diri.

UMNO kini telah menjadi sebuah bisnes dan hanya pemimpin yang mampu memberi kepuasan kepada ahli dengan pengaliran imbuhan projek dan jawatan akan disokong. Lebih buruk lagi, kunci kuasa parti dipegang oleh kesemua 193 ketua bahagian, ketua perhubungan negeri, ahli majlis tertinggi dan presiden parti. Hanya pemindaan besar-besaran kepada perlembagaan parti boleh mengembalikan kuasa kepada akar-umbi seperti mana dicadangkan Tengku Razaleigh.

Tetapi, realitinya tampuk kuasa pemilihan berada di tangan ketua-ketua bahagian, calon mereka, ahli-ahli majlis tertinggi dan lain-lain. Mereka tak mungkin akan sanggup memporak-perandakan kedudukan sendiri.

Sedutan di atas yang diterbitkan dalam akhbar online Malaysian Insider diterjemahkan daripada versi Inggeris

Komen Blogger:

Begitu tajam sedutan sorotan di atas mengenai Tengku Razaleigh. Ia mungkin pahit untuk diterima ahli UMNO, tetapi bahaya dan kebarangkalian ia berlaku jangan sekali-kali diperkecilkan. Pertukaran budaya dalam UMNO kepada asas perjuangan Melayu seperti diperturunkan para pengasas puluhan tahun dulu sesuatu yang amat dinantikan tetapi, apakah arus yang jelas boleh membawa Ku Li ke 'perangkap' pembangkang sesuatu yang boleh diterima? Fikirkanlah...