Tuesday, March 17, 2009

Khairy boleh, Rustam tak boleh!


Calon Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini didapati bersalah melanggar undang-undang pemilihan parti.

Dia bagaimanapun hanya diberi amaran dan masih layak untuk bertanding jawatan itu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail dalam satu sidang media khas di ibu pejabat Umno, Menara Dato Onn, di Kuala Lumpur tengahari tadi.

Sementara itu, seorang lagi calon Ketua Pemuda iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo pula didapati tidak bersalah.

Pertandingan bagi merebut Ketua Pemuda Umno pada 25 Mac ini membabitkan tiga calon termasuk Khairy, Dr Mohamad Khir dan Datuk Mukhriz Mahathir.

Sementara itu...

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ini dilucutkan kelayakan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan kerana didapati bersalah melanggar peraturan kempen pemilihan parti.

Keputusan itujuga diumumkan Tengku Ahmad Rithauddeen.

Menurut Tengku Ahmad Rithauddeen, Mohd Ali didapati bersalah mengikut Perkara 10.1, Tata Etika Ahli Umno yang membawa hukuman dilarang daripada bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden sahaja.

Katanya, keputusan itu dibuat Lembaga Disiplin selepas mendapati Mohd Ali mempunyau kaitan dengan kesalahan politik yang dilakukan oleh ejen dan pelobi semasa proses pencalonan dan juga semasa berkempen.

"Beliau bersalah disebabkan ada sabit kesalahan, pekerja yang buat. Dia hanya disabitkan.

"Tiada kesalahan khusus atau terus yang dilakukan beliau," katanya.

Ditanya sama ada Mohd Ali digantung keahlian, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, pihaknya hanya melarang beliau daripada bertanding.